SEAWAL usia empat tahun, Natasha Onn, 14, sudah boleh memukul bola golf dengan begitu bertenaga. Potensi itu disedari ayahnya, Samuel Oon, 52, dan bakat semula jadi anak itu diasah sehingga dikenali sebagai antara pemain golf berbakat dan termuda negara.
Buktinya, Natasha kini sudah merangkul pelbagai anugerah dalam dan luar negara. Berikutan kecemerlangan dalam akademik dan bidang kesukanan dipelopori, beliau mendapat tajaan Yayasan Sime Darby,
Pelajar Sekolah Antarabangsa Cempaka di Damansara ini bertuah kerana pernah menjalani latihan di Institut Golf Tim Shreedy, Florida, Amerika Syarikat. Amat membanggakan, daripada 20 kejohanan disertainya, 10 kemenangan berjaya digondol.
Pada Mei tahun lalu, beliau dicalonkan sebagai atlit tahunan oleh Majlis Sukan Negara dan menjuarai Junior Honda Classics 2016 di Florida, Amerika Syarikat.
Selain itu, beliau turut merangkul kejuaraan, The Callaway Junior World dan The World Junior Masters.
Gadis tinggi lampai ini aktif dalam kejohanan dan menjadi peserta Persatuan Wanita Professional Golf (LPGA), menerusi program pembangunan di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC) serta antara pemain cemerlang dengan pengalaman bermain selama 10 tahun.

NATASHA cemerlang dalam golf dan akademik
Cintai suka golf
Natasha sama seperti remaja lain. Suka memasak, menyanyi dan berenang. Cuma, minat mendalam membuatkan dia jatuh cinta pada arena golf.
"Pada usia empat tahun, ayah membawa saya ke lapang sasar golf. Masih ingat, ketika itu di Singapura dan kebetulan ibu dan ayah tidak mahu meninggalkan saya keseorangan.
"Walaupun masih kecil, saya terpegun melihat ayah bermain golf. Melihat reaksi minat saya, ayah memberi peluang kepada saya untuk membuat pukulan. Ayah kagum dan kata ia pukulan hebat, apatah lagi itu percubaan pertama saya," katanya.
Saat itu, merubah kehidupan Natasha. Tanpa membuang masa, ayahnya, mengupah jurulatih untuk mengasah bakat mendalam Natasha.
"Golf sukan santai dan menenangkan jiwa. Saya suka berjalan di alam semula jadi, melihat padang menghijau, mendengar bunyi burung, tumbuhan dan suasana alam yang indah. Sukar diterjemahkan tetapi saya teruja apabila menghayunkan kayu golf dan mula memukul bola," katanya.
Ayah pendorong dan sumber inspirasi untuk beliau memajukan diri dalam bidang ini. Bukan saja memperkenalkan, malah pembimbing kepadanya ketika baharu bertatih dalam sukan golf dan sehingga hari ini.

NATASHA terdedah kepada permainan golf sejak berusia empat tahun.
"Cita-cita saya ingin menjadi pemain golf wanita profesional, terkenal di dunia dan mampu menaikkan nama negara menerusi sukan ini di Olimpik. Begitu juga ibu yang sentiasa berada di sisi saya. Saya ingin menjelajah kejohanan sukan ini di serata dunia kerana bermain di luar negara memberikan pengalaman kerana ia berbeza dengan cuaca dan kelajuan," katanya.
Kata gadis ramah ini, beliau meminati pemain golf wanita dari Amerika Syarikat, Jessica Korda yang pernah muncul juara kejohanan golf Sime Darby LPGA Malaysia, tahun lalu.
Bagi Natasha, Jessica, 23 tahun individu paling lucu yang pernah ditemui dan pukulan bola dilakukannya sentiasa menakjubkan.
Mahu berbakti pada negara
Bukan saja bermatlamat mengharumkan nama negara, seawal usia ini Natasha sudah ada perancangan tersendiri. Beliau mahu negara berbangga mempunyai warga sepertinya dan ingin berbakti menerusi kerja amal.
"Mungkin apabila saya sudah mendapat pengalaman cukup dalam siri jelajah, saya mahu membuka sekolah sukan dan membantu bakal pemain junior dalam bidang golf ini dengan pengalaman yang saya sudah ada," katanya.
Natasya akui, zaman kanak-kanak beliau begitu berbeza daripada kehidupan remaja normal lain.
"Kebanyakan masa saya begitu sibuk dan kadangkala belajar di kantin. Saya juga tidak pandai berbual kosong. Biasanya, saya akan bercakap berkenaan sukan golf tetapi ia seolah-olah 'bahasa asing' kepada orang lain. Golf adalah sebahagian yang mentakrifkan siapa saya dan dunia golf membuatkan saya berbeza dengan rakan lain," katanya.

KECEMERLANGAN Natasha dalam dunia golf menarik perhatian dan tajaan Yayasan Sime Darby.
Anak tunggal dalam keluarga ini, berkata sebagai pelajar dan pemain golf, beliau mementingkan kedua-duanya serta memanfaatkan masa sebaik mungkin.
"Biasanya saya menjalankan latihan di KLGCC selepas pulang daripada sekolah. KLGCC terletak berhampiran dengan sekolah dan bentuk padangnya sesuai kerana mempunyai cerun serta menghijau. Pada setiap Isnin dan Selasa, saya akan ke gimnasium dan semua ini rutin berterusan.
"Saya bernasib baik kerana mendapat bimbingan daripada jurulatih dari Australia, Steven Giuliano yang menetap di The Mines, Seri Kembangan. Beliau banyak membantu memperbaiki kemahiran saya," katanya yang tiada istilah letih kerana ia dilakukan dengan penuh minat.
Harus kuatkan diri
Beliau akui, bukan mudah untuk melalui kehidupan sebagai pemain golf dan rutin harian sebagai pelajar. Tetapi demi minat, beliau harus menguatkan diri.
"Ia kehidupan yang sangat sibuk dan gigih. Disiplin kunci kejayaan. Biasanya saya membuat jadual dan merancang awal. Saya bersiap sedia lebih awal jika ada latihan tertentu di padang golf, mahupun sebarang kejohanan. Saya tiada masa untuk benar-benar bergaul dengan rakan. Sebahagian masa saya berada di lapangan golf. Tetapi saya perlu jujur ia menyeronokkan," katanya.
Lebih disyukuri ,Natasha dikurniakan ibu, Yenni Hasnawi, 43, yang sentiasa ada pada saat genting terutama ketika beliau berada dalam keadaan tertekan.
"Ayah dan ibu, individu menakjubkan dan sentiasa menyokong saya," katanya.
Walaupun bapanya mahukan Natasha menjadi terkenal dalam bidang golf, sama seperti remaja lain beliau diberi peluang untuk merasai keriangan bermain sukan lain. Antara yang pernah dicuba Natasha adalah sukan berenang mahupun taekwando. Namun, masa tidak mengizinkan dan ia perlu dilupakan seketika untuk fokus kepada sukan golf.
Pesan Natasha berulang kali, untuk berjaya perlu disiplin tinggi dan jangan pernah berputus asa.
"Terus berwibawa dan jika melalui kesukaran, teruskan melangkah ke hadapan dan bekerja keras. Apabila tiba masa, segala-galanya akan jatuh ke tempatnya," katanya.

NATASHA Onn, bersama bapa, Samuel Oon (kiri) dan ibunya, Yenni Hasnawi, serta sebahagian piala kemenangan yang pernah dicapainya.
Kesan awal bakat anak
Bagi ibu Natasha, saat paling indah ialah melihat kejayaan dirangkul Natasha.
"Saya dan suami berasakan bakat mendalam anak apabila setiap kali menyertai kejohanan sukan golf, beliau tidak pernah menghampakan. Beliau pulang membawa pingat. Sebagai ibu, saya mengharapkan bakat anak ini diteruskan sehingga memenangi pingat di sukan Olimpik suatu hari nanti," katanya.
Ketika anak berusia 5 tahun, keyakinan beliau terus bercambah melihatkan Natasha merangkul tempat ketujuh pada kejohanan Callaway Junior World walaupun baru setahun jagung ketika itu. Setahun selepas itu, anaknya menjadi juara pada acara ternama itu sehingga beberapa jurulatih ternama sukan golf turut sama mengandaikan Natasha sebagai bakat muda yang patut digilap bakatnya.
Bagaimanapun, hati ibu mana tidak terusik melihat kesungguhan dan wajah penat anak untuk melalui dunia sebagai atlit dan pada masa sama pelajar sekolah. Tetapi, semangat Natasha membuatkan beliau kuat untuk mendorong anaknya.
"Suami begitu mahukan Natasha berjaya dalam bidang ini. Tetapi kami tidak pernah memaksa Natasha. Biar dia pilih apa yang dia mahu jadi. Cuma kami bagi sokongan dan gambaran apa yang perlu dilakukan. Saya kerap kali berpesan kepada Natasha supaya mementingkan pelajaran. Saya mahu dia jadi atlit yang seimbang dalam sukan dan pelajaran," katanya.

NATASHA meraih 10 kejuaraan daripada 20 kejohanan golf yang disertainya.
Asah bakat anak
Katanya, sebagai ibu bapa, perlu melihat minat anak pada awal usia mereka. Seperti Natasha, beliau dan suami sudah mencuba untuk melihat bakat si anak menerusi beberapa usaha.
"Antaranya, kami bagi peluang kepada anak meneroka pelbagai sukan. Bukan golf saja. Antaranya adalah berenang, balet, takewando, badminton dan tenis tetapi Natasha cenderung kepada golf," katanya.
Katanya, saranan terbaik untuk menggalakkan anak mengambil bahagian dalam sukan adalah kerap motivasi anak dan gembira saja dengan apa hasil mendatang.
"Untuk Natasha, sebagai ibu bapa kami sentiasa di pihaknya walaupun apa saja situasi berlaku," katanya.
Beliau dan suami kerap menonton kisah benar membabitkan kejayaan individu dalam sukan dunia bagi memberi inspirasi bukan saja kepada Natasha tetapi kepada diri mereka sebagai pembimbing anak.
Kata akhir wanita berasal dari Indonesia ini, dengarlah apa yang anak mahu sampaikan dan selidik masalah anak, kemudian bantu untuk selesaikan masalah dihadapi.
"Kadangkala ibu bapa terlalu memberi tumpuan kepada sukan anak dan tidak sedar apa anak lalui. Ini adalah masa untuk anak membesar dan belajar. Jadi, dengan bantuan ibu bapa, mereka tahu apa sedang dihadapi dan bagaimana mahu menguruskannya
Ulasan
Catat Ulasan